Sunday, February 21, 2010

APA PUN BOLEH MENJADI



Kalau aku melalui rumah berhala,
Belum tentu apa yang kulihat adalah berhala,
Dan Engkau maha tahu, kalau aku melalui pintu bank,
mungkin yang kulihat ialah berhala,
hanya engkau yang maha tahu

Tuhan engkau pernah mengajarku, bahawa
berhala adalah sesuatu yang mati, tetapi
ia akan hidup apabila ia dihidupkan oleh
nafas dan nurani manusia-maka ia akan
berjalan ke sana ke sini dengan kaki manusia,
dan akan berkata- kata dengan mulut dan
suara manusia ke sini sana

Engkau juga mengajarku bahawa berhala
adalah sesuatu yang bernyawa dan bersuara
meski tanpa diberi oleh manusia , dan ia berjalan
ke sini dan ke sana, dan ditemani manusia ,
Pernah juga Engkau memberitahuku, bahawa
wujudnya berhala kerana diwujudkan oleh
manusia- maka justeru, apa- apa pun saja
boleh menjadi berhala, ia menjadi berhala
kerana ia dipuja meskipun ia tidak disembah- ia dipuja kerana
ia amat dikasihi- ia disembah kerana
ia dianggap tuhan

Maka justeru , apa pun yang disembah , atau
apa pun yang dipuja (amat dikasihi), Sehingga
berpaling dari-Mu, sehingga ia berpaling dari
tiang syariat-Mu, maka ia adalah berhala,
Maka justeru, patung yang dicipta manusia dari
batu atau tanah, dari gangsa atau emas-
Semuanya adalah berhala kerana ia disembah atau
dipuja, maka justeru, bintang atau matahari
yang disembah atau dipuja, mereka menjadi berhala
maka laut atau ikan yang disembah yang dipuja,
Maka mereka adalah berhala- demikian dengan wang
yang amat dikasihi, emas dan rangkaian permata,
yang disimpan dalam peti ,
semuanya boleh bertukar menjadi berhala

Maka, wahai Tuhanku, sesungguhnya begitu banyak
berhala disekelilingku ini, makasesungguhnya
aku memohon lindungan-Mu dalam setiap renunganku,
di dalam setiap langkahku, jauhkan aku dari
memandang atau menyembah, mengasyik atau memuja
kepada sesuatu apa pun, kerana semua itu
boleh bertukar dan berwujud sebagai berhala-
sesuatu yang menjadi musuh –Mu, musuhku juga,
Tuhan biarlah Engkau tutup pandangan mataku
dengan panah iman
dan panah taqwa, supaya aku tidak
dapat memandang berhala- berhala itu.

As- Suhaimi,2007, kumpulan puisi Taman Takwa.

Thursday, February 4, 2010

DAN INGATLAH PADA SUATU KETIKA

*(Rujuk surah al-Qiamah 1- 15)

Dan ingatlah pada suatu ketika
Apabila anak- anak dan isteri
Teman- teman dan keluarga, tidak
dapat memberi pertolongan

Dan ingatlah pada suatu ketika
Apabila tiupan pertama telah ditiupkan,
diikuti dengan tiupan kedua
bagi sekalian alam, juga sekalian insan

Dan ingatlah pada suatu ketika
dengan tiupan ini, bulan- bulan dan bintang
kehilangan cahaya, matahari dan
bulan dikumpulkan

Dan ingatlah pada suatu ketika
yang dapat memberi pertolongan ialah
kesucian ibadatmu, ialah kesucian
cintamu, kesucian ikrarmu, ialah rahmat
dan redha-Nya, ialah pengampunan
dan kasih sayang-Nya

Dan ingatlah pada suatu ketika
bagaimana nasibmu, apabila manusia
terbelalak matanya, dan bertanya:
ke mana tempat lari?

Dan ingatlah pada suatu ketika
bagaimana nasibmu, apabila Tuhan menyusun
semula jari- jarimu, dengan sempurna

Dan Ingatlah pada suatu ketika
apabila manusia dinyatakan semula
apa yang telah dikerjakannya, dan
apa yang telah dilalaikannya

Dan ingatlah pada suatu ketika
apabila manusia menjadi saksi atas
perbuatan dirinya sendiri
apabila tangan dan kaki pandai
berkata- kata

Dan ingatlah pada suatu ketika
apabila kau memberi berbagai- bagai
alasan.

(As-Suhaimi- ASYIK)