Wednesday, December 22, 2010
Wednesday, December 15, 2010
Kedamaian Hati Adalah Kedamaian Sejati
Seorang Raja mengadakan sayembara dan akan mengurniakan hadiah yang berlimpah kepada sesiapa sahaja yang dapat menghasilkan ebuah lukisan tentang kedamaian. Ada banyak seniman dan pelukis yang berusaha keras untuk memenangi pertandingan tersebut.
Ketika sayembara telah selesai, sang Raja berkeliling melihat-lihat hasil karya mereka. Hanya ada dua buah lukisan yang paling disukainya. Tapi, sang Raja harus memilih satu diantara keduanya.
Lukisan pertama menggambarkan sebuah telaga yang tenang. Permukaan telaganya bagaikan cermin sempurna yang memantulkan kedamaian gunung- gunung yang menjulang tenang disekitarnya. Di atasnya terpampang langit biru dengan awan putih berarak-arak. Semua yang memandang lukisan ini akan berpendapat, inilah lukisan terbaik mengenai kedamaian.
Lukisan kedua menggambarkan pegunungan juga. Namun tampak kasar dan gondul. Di atasnya terlukis langit yang gelap dan merah menandakan turunnya hujan badai, sedangkan tampak kilat menyambar-nyambar liar. Di sisi gunung ada air terjun deras yang berbuih-buih, sama sekali tidak menampakkan ketenangan dan kedamaian.
Tapi, sang Raja melihat sesuatu yang menarik, di balik air terjun itu tumbuh semak-semak kecil diatas sela-sela batu. Di dalam semak-semak itu seekor induk burung pipit meletakkan sarangnya. Jadi, ditengah-tengah riuh rendahnya air terjun, seekor induk pipit sedang mengerami telurnya dengan damai. Benar-benar damai.
Lukisan manakah yang menang?
Sang Raja memilih lukisan yang ke-dua.
“Wahai Raja, kenapa Raja memilih lukisan yang ke-dua?”
Sang Raja menjawab, “Kedamaian bukan berarti kau harus berada di tempat yang tanpa keributan, kesulitan atau pun pekerjaan yang keras dan sibuk. Kedamaian adalah hati yang tenang dan damai, meskipun kau berada di tengah-tengah keributan luar biasa.”
“Kedamaian hati adalah kedamaian sejati.”
Thursday, April 8, 2010
Menangislah kerana tidak menangis
kelahiran seorang bayi
dihiasi tangis
Nyaring berkumandang
menyapa telinga ibu
Lalu melonjak hati ibu
Penawar sakit dan lesu
Lalu bermulalah sebuah kehidupan
yang bakal mewarnai bumi
berdakwatlah airmata
Hidup dimulakan oleh sebuah tangisan
dicelahi oleh tangisan
diakhiri dengan tangisan
Airmata manusia sentiasa dalam dua
yang menguntungkan atau merugikan
Sabda Rasulullah S.A.W :
“Dua titisan air yang Allah cintai
Darah para syuhadak dan airmata kerana
takutkan Allah”
Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda:
“Tangisan seorang pendosa lebih ALLAH cintai
daripada tasbih para wali,”
Nikmat disambut ria
Ujian menjemput duka
Namun ALLAH S.W.T telah berfirman:
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu ,
pada hal ia amat baik bagimu,
dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu,
padahal ia amat buruk bagimu.
Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.”
(Al- Baqarah:216)
Menangislah wahai diri
agar senyummu banyak di kemudian hari
Kerana nasibmu belum pasti
Di sana nanti
lembaran sejarahmu
dibuka satu persatu
Menangislah seperti Saidina Ali
dengan hibanya berkata:
“Wahai dunia.... janganlah kau tipu aku.
Tipulah orang lain.”
Menangislah seperti Saidina Umar
yang selalu memukul dirinya dengan berkata:
“Kalau semua manusia masuk syurga kecuali
seorang, aku takut akulah orang itu,”
Menangislah sebagaimana Ummu Sulaim apabila
ditanya:
Kenapakah engkau menangis”
Jawabnya:
“Aku tidak mempunyai anak lagi
untuk dihantar ke medan perang.”
Menangislah seperti Ghazwan
yang tidak sengaja terpandang wanita rupawan
Lalu diharamkan matanya dari memandang
ke langit seumur hidupnya
Ibnu Mas’ud r.a berkata:
“Seseorang yang mengerti Al- Quran
dikenal waktu malam ketika orang lain tidur,
dan waktu siangnya ketika orang lain tidak
berpuasa,
sedihnya ketika orang lain sedang gembira
dan tangisnya di waktu orang lain sedang tertawa,
diamnya di waktu orang lain bicara
khusyuk di waktu orang lain berbangga.
Seharusnya orang yang mengeti al-Quran itu
tenang,
lunak dan tidak boleh menjadi seorang yang
keras,
kejam lalai, bersuara keras dan marah.”
Tanyailah orang- orang soleh
mengapa mereka banyak menangis
Mereka akan menjawab:
“Bagaimana hendak gembira
sedangkan mati itu di belakang kami,
kubur di hadapan, Qiamat itu janjian kami,
Neraka itu memburu kami dan perhentian kami ialah Allah.”
Mereka menangis di sini
sebelum menangis di sana
Dan kita bagaimana?
... menangislah kerana kita tidak menangis seperti mereka menangis
Johor Bharu, Johor
Karya nan indah nukilan rasa Ustaz Pahrol Mohd Juoi, antologi puisi “Jendela Hati”,1993
Sunday, February 21, 2010
APA PUN BOLEH MENJADI
Kalau aku melalui rumah berhala,
Belum tentu apa yang kulihat adalah berhala,
Dan Engkau maha tahu, kalau aku melalui pintu bank,
mungkin yang kulihat ialah berhala,
hanya engkau yang maha tahu
Tuhan engkau pernah mengajarku, bahawa
berhala adalah sesuatu yang mati, tetapi
ia akan hidup apabila ia dihidupkan oleh
nafas dan nurani manusia-maka ia akan
berjalan ke sana ke sini dengan kaki manusia,
dan akan berkata- kata dengan mulut dan
suara manusia ke sini sana
Engkau juga mengajarku bahawa berhala
adalah sesuatu yang bernyawa dan bersuara
meski tanpa diberi oleh manusia , dan ia berjalan
ke sini dan ke sana, dan ditemani manusia ,
Pernah juga Engkau memberitahuku, bahawa
wujudnya berhala kerana diwujudkan oleh
manusia- maka justeru, apa- apa pun saja
boleh menjadi berhala, ia menjadi berhala
kerana ia dipuja meskipun ia tidak disembah- ia dipuja kerana
ia amat dikasihi- ia disembah kerana
ia dianggap tuhan
Maka justeru , apa pun yang disembah , atau
apa pun yang dipuja (amat dikasihi), Sehingga
berpaling dari-Mu, sehingga ia berpaling dari
tiang syariat-Mu, maka ia adalah berhala,
Maka justeru, patung yang dicipta manusia dari
batu atau tanah, dari gangsa atau emas-
Semuanya adalah berhala kerana ia disembah atau
dipuja, maka justeru, bintang atau matahari
yang disembah atau dipuja, mereka menjadi berhala
maka laut atau ikan yang disembah yang dipuja,
Maka mereka adalah berhala- demikian dengan wang
yang amat dikasihi, emas dan rangkaian permata,
yang disimpan dalam peti ,
semuanya boleh bertukar menjadi berhala
Maka, wahai Tuhanku, sesungguhnya begitu banyak
berhala disekelilingku ini, makasesungguhnya
aku memohon lindungan-Mu dalam setiap renunganku,
di dalam setiap langkahku, jauhkan aku dari
memandang atau menyembah, mengasyik atau memuja
kepada sesuatu apa pun, kerana semua itu
boleh bertukar dan berwujud sebagai berhala-
sesuatu yang menjadi musuh –Mu, musuhku juga,
Tuhan biarlah Engkau tutup pandangan mataku
dengan panah iman
dan panah taqwa, supaya aku tidak
dapat memandang berhala- berhala itu.
As- Suhaimi,2007, kumpulan puisi Taman Takwa.
Thursday, February 4, 2010
DAN INGATLAH PADA SUATU KETIKA
Dan ingatlah pada suatu ketika
Apabila anak- anak dan isteri
Teman- teman dan keluarga, tidak
dapat memberi pertolongan
Dan ingatlah pada suatu ketika
Apabila tiupan pertama telah ditiupkan,
diikuti dengan tiupan kedua
bagi sekalian alam, juga sekalian insan
Dan ingatlah pada suatu ketika
dengan tiupan ini, bulan- bulan dan bintang
kehilangan cahaya, matahari dan
bulan dikumpulkan
Dan ingatlah pada suatu ketika
yang dapat memberi pertolongan ialah
kesucian ibadatmu, ialah kesucian
cintamu, kesucian ikrarmu, ialah rahmat
dan redha-Nya, ialah pengampunan
dan kasih sayang-Nya
Dan ingatlah pada suatu ketika
bagaimana nasibmu, apabila manusia
terbelalak matanya, dan bertanya:
ke mana tempat lari?
Dan ingatlah pada suatu ketika
bagaimana nasibmu, apabila Tuhan menyusun
semula jari- jarimu, dengan sempurna
Dan Ingatlah pada suatu ketika
apabila manusia dinyatakan semula
apa yang telah dikerjakannya, dan
apa yang telah dilalaikannya
Dan ingatlah pada suatu ketika
apabila manusia menjadi saksi atas
perbuatan dirinya sendiri
apabila tangan dan kaki pandai
berkata- kata
Dan ingatlah pada suatu ketika
apabila kau memberi berbagai- bagai
alasan.
(As-Suhaimi- ASYIK)
Saturday, November 21, 2009
Perihal rezeki....
Daripada Sariy al- Saqaty menceritakan bahawa:
Pada suatu hari, aku ke kawasan perkuburan untuk ziarah dan membaca sesuatu kepada penghuni- penghuninya. Tiba- tiba aku terlihat Bahlul al-Majnun berada di sisi sebuah kubur. Dia sedang menggolek- golekkan tubuhnya di atas tanah kubur itu. Aku tidak hairan melihat apa yang dilakukannya kerana sememangnya aku sudah tahu perbuatannya, perangainya pelik daripada orang lain. Sebab itu orang menggelarnya Bahlul si Gila.
"Kenapa engkau berada di sini?" Tanyaku pada Bahlul.
Jawabnya, "Memang aku cukup suka dan selesa berada di sini, mereka tidak menyusahkanku dan apabila aku pergi dari sini mereka tidak pernah mencaci di belakangku," katanya dengan puas hati.
Aku merenung wajahnya dan aku tahu perkataan seumpama itu bukanlah kata- kata yang biasa diucapkan oleh seorang yang gila, ia seperti ucapan bernas dan mempunyai pengertian yang mendalam.
Aku dapat memahami ucapannya bahawa manusia sekarang tidak terlepas daripada mencaci dan dicaci, menganggu orang lain atau diganggu. Dunia hari ini telah rosak akhlaknya , manusia tidak lagi mempedulikan salah atau betul, dosa atau pahala. Mereka lebih suka mengikut hawa nafsu semata- mata, yang kerap kali membawa kepada malapetaka dan kebinasaan besar.
Aku terdiam sebentar, tidak tahu apa yang akan ku tanyakan kepadanya lagi. Aku tidak mahu tersalah soalan kepadanya, nanti mana tahu aku menerima jawapan yang tidak menyenangkan dirinya. Orang seperti itu pemiliknya bergerak cepat, mungkin apa yang dikatakannya itu berupa ilham daripada Tuhan yang Maha Kuasa.
"Wahai Bahlul, tahukah engkau bahawa harga roti sekarang sudah naik?" Lidah ku tiba- tiba mengatakan itu, dan aku sendiri tidak tahu, kenapa aku mempersoalkan harga roti pula.
Beliau menjawab tegas dengan wajah yang muncung dan masam; "Demi Allah aduhai Sariy, aku tidak peduli berapa pun harganya, walaupun harga roti berharga sedinar sekalipun. Itu bukan urusan kita." Dia terlalu serius ketika mengucapkan kata- kata itu seolah- olah dia peniaga pasar.
Bahlul terus bersyarah dengan dengan penuh falsafah; "Apa yang seharusnya dianggap penting ialah kita mesti menyembah Allah SWT dengan sebaik- baiknya sebagaimana yang diperintahkan, nescaya Allah SWT akan mengurniakan rezeki-Nya sebagaimana yang dijanjikan. Harga roti naik atau turun bukan menjadi masalah, sebab walau apa pun keadaan yang berlaku sesungguhnya rezeki daripada Tuhan tetap ada."
Dipetik dari kolum 'suri teladan' dalam kitab Syarah Al- Hikam jilid 1 keluaran Telaga Biru yakni syarah bagi kitab Al- Hikam Ibnu Athaillah Iskandary.
Monday, October 26, 2009
Berbicara tentang bahagia
Namun, adakah itu kebahagiaan yang sebenar yang sekian lama dicari? Pada wang dan harta yang pasti akan hilang dan dijual beli? Benarkah bahagia itu letaknya pada kemegahan dan kemuliaan yang bisa dilupakan? Bahagiakah diri apabila dikhianati cinta yang kononnya tak bertepi? Bahagiakah diri bila si jelita yang dipuja hilang serinya?
Oh, celakah bahagia yang dicari berlandaskan nafsu. Itulah kebahagiaan yang bisa membuat diri menderita. Menderita dengan seribu macam penipuan. Menderita dek hati sudah berpenyakit. Lebih menderita bila Allah dilupakan.
Lihatlah sikap si orang kaya yang hatinya terhijab, bila hartanya bertimbun, bukan harta itu membuatkan dirinya bahagia. Malah harta itu yang membuatkan dirinya gelisah. Hatinya tidak tenteram, takut- takut hartanya dicuri, takut dikejar si peminta derma,dan seribu macam lagi perkara yang menyebabkan hatinya dikuasai khuatir. Ada yang lebih parah bila hati sudah berpenyakit, dianiya pula hidup si miskin. Tanah mereka diambil, dikerah tenaga mereka untuk kepentingan diri, dan berbagai- bagai lagi perkara yang diekspoitasi untuk kesenangan diri. Al- hasil, si miskin yang tidak bahagia semakin tidak bahagia. Dari perspektif mereka, wang dan hartalah yang memberi kebahagiaan kerana nasib mereka dirampas oleh orang yang berwang. Na'uzubillah.
bersambung...