Kalau aku melalui rumah berhala,
Belum tentu apa yang kulihat adalah berhala,
Dan Engkau maha tahu, kalau aku melalui pintu bank,
mungkin yang kulihat ialah berhala,
hanya engkau yang maha tahu
Tuhan engkau pernah mengajarku, bahawa
berhala adalah sesuatu yang mati, tetapi
ia akan hidup apabila ia dihidupkan oleh
nafas dan nurani manusia-maka ia akan
berjalan ke sana ke sini dengan kaki manusia,
dan akan berkata- kata dengan mulut dan
suara manusia ke sini sana
Engkau juga mengajarku bahawa berhala
adalah sesuatu yang bernyawa dan bersuara
meski tanpa diberi oleh manusia , dan ia berjalan
ke sini dan ke sana, dan ditemani manusia ,
Pernah juga Engkau memberitahuku, bahawa
wujudnya berhala kerana diwujudkan oleh
manusia- maka justeru, apa- apa pun saja
boleh menjadi berhala, ia menjadi berhala
kerana ia dipuja meskipun ia tidak disembah- ia dipuja kerana
ia amat dikasihi- ia disembah kerana
ia dianggap tuhan
Maka justeru , apa pun yang disembah , atau
apa pun yang dipuja (amat dikasihi), Sehingga
berpaling dari-Mu, sehingga ia berpaling dari
tiang syariat-Mu, maka ia adalah berhala,
Maka justeru, patung yang dicipta manusia dari
batu atau tanah, dari gangsa atau emas-
Semuanya adalah berhala kerana ia disembah atau
dipuja, maka justeru, bintang atau matahari
yang disembah atau dipuja, mereka menjadi berhala
maka laut atau ikan yang disembah yang dipuja,
Maka mereka adalah berhala- demikian dengan wang
yang amat dikasihi, emas dan rangkaian permata,
yang disimpan dalam peti ,
semuanya boleh bertukar menjadi berhala
Maka, wahai Tuhanku, sesungguhnya begitu banyak
berhala disekelilingku ini, makasesungguhnya
aku memohon lindungan-Mu dalam setiap renunganku,
di dalam setiap langkahku, jauhkan aku dari
memandang atau menyembah, mengasyik atau memuja
kepada sesuatu apa pun, kerana semua itu
boleh bertukar dan berwujud sebagai berhala-
sesuatu yang menjadi musuh –Mu, musuhku juga,
Tuhan biarlah Engkau tutup pandangan mataku
dengan panah iman
dan panah taqwa, supaya aku tidak
dapat memandang berhala- berhala itu.
As- Suhaimi,2007, kumpulan puisi Taman Takwa.
No comments:
Post a Comment