Tuesday, April 7, 2009

Jemputan dari Allah

Ketika membaca kolum “isu” yang bertajuk “memanjangkan nyawa” dalam majalah Solusi isu yang ke-5, saya amat tertarik pada ungkapan yang ditulis oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi yang berbunyi:

Jemputan ke arah kebaikan singgah secara tiba- tiba. Kutiplah titipan kasih daripada Allah apabila suara hatimu tiba- tiba berbisik “sampai bila aku harus jadi begini…”. Kata Hukama’, “Apabila seseorang didatangi rasa hati yang begitu, ertinya dia telah menerima jemputan tuhan ke daerah kebaikan”
.

Saya berhenti seketika untuk berfikir betapa dalamnya maksud nukilan tersebut. Jika diperhalusi lagi kata- kata itu, betapa besarnya pengajaran yang telah saya dapat.
Cuba bayangkan jika pada suatu ketika, kita merupakan seorang rakyat yang miskin, disisih masyarakat dan di mata ramai teramatlah hina keadaan kita. Tetapi pada suatu ketika, raja negara tersebut telah memuliakan ita dengan menjemput kita ke istana kebesarannya. Adakah kita akan menolak jemputan tersebut? Sudah pasti tidak! Betapa ruginya kita jika kita menolak kerana ini bukanlah calang- calang jemputan. Adakah kita akan bertangguh- tangguh untuk pergi ke jemputan tersebut? Sudah pasti tidak! Betapa mulia dan bertuahya kita pada ketika kerana menerima jemputan dari seorang raja walhal kita hanya seorang rakyat yang hina- dina. Terasa indahnya hidup pada saat itu hingga kalau boleh, masa pada ketika itu dapat diputar- putar selalu.

Inilah sedikit perumpamaan yang saya dapat nukilkan.
Pernahkah pada suatu ketika kita terasa diri kita ini terasa cukup hina di hadapan tuhan? Dan pada masa yang sama timbul kesedaran di dalam hati untuk menjadi seorang yang lebih baik? Dan pada ketika itu, adakah anda tetap tidak berubah? Adakah anda bertangguh- tangguh? Atau adakah anda terus berubah pada ketika itu juga? Cuba kaitkan keadaan ini dengan perumpamaan “jemputan raja” yang telah saya nukilkan di atas? Jelaskah apa yamg saya cuba sampaikan?

Anggaplah bahawa “rasa ingin berubah” itu merupakan suatu jemputan Allah yang telah dicampakkan ke dalam hati kita. Betapa bertuah dan mulianya kita kerana dijemput oleh Allah untuk ke istana “kebaikan”. Adakah kita akan menolak jemputan tersebut? Adakah kita masih bertangguh- tangguh? Atau adakah kita akan menjadi orang yang beruntung dengan serta- merta menerima jemputan tersebut? Betapa ruginya kita jika menolak atau bertangguh- tangguh kerana sesungguhnya kita telah menerima jemputan daripada Raja segala raja yakni Allah S.W.T. Jemputan dari orang besar bukanlah datang dengan selalu malah kebiasannya insan- insan yang dijemput ialah orang- orang terpilih. Fikirkan…

Janganlah kita sia- siakan peluang seperti ini nanti tatkala diri kita pula yang dijemput. Alangkah baiknya jika kita manfaatkan saat tersebut untuk memperbaiki diri kita yang serba lemah dan hina ini. Binalah akhlak yang indah dengan mencelikkan hati mengenal tuhan. Semoga hidup kita lebih bahagia dan dirahmati. Renungkan dan selamat beramal….

No comments:

Post a Comment