Saturday, November 21, 2009

Perihal rezeki....

Sekadar perkongsian...

Daripada Sariy al- Saqaty menceritakan bahawa:

Pada suatu hari, aku ke kawasan perkuburan untuk ziarah dan membaca sesuatu kepada penghuni- penghuninya. Tiba- tiba aku terlihat Bahlul al-Majnun berada di sisi sebuah kubur. Dia sedang menggolek- golekkan tubuhnya di atas tanah kubur itu. Aku tidak hairan melihat apa yang dilakukannya kerana sememangnya aku sudah tahu perbuatannya, perangainya pelik daripada orang lain. Sebab itu orang menggelarnya Bahlul si Gila.


"Kenapa engkau berada di sini?" Tanyaku pada Bahlul.
Jawabnya, "Memang aku cukup suka dan selesa berada di sini, mereka tidak menyusahkanku dan apabila aku pergi dari sini mereka tidak pernah mencaci di belakangku," katanya dengan puas hati.

Aku merenung wajahnya dan aku tahu perkataan seumpama itu bukanlah kata- kata yang biasa diucapkan oleh seorang yang gila, ia seperti ucapan bernas dan mempunyai pengertian yang mendalam.
Aku dapat memahami ucapannya bahawa manusia sekarang tidak terlepas daripada mencaci dan dicaci, menganggu orang lain atau diganggu. Dunia hari ini telah rosak akhlaknya , manusia tidak lagi mempedulikan salah atau betul, dosa atau pahala. Mereka lebih suka mengikut hawa nafsu semata- mata, yang kerap kali membawa kepada malapetaka dan kebinasaan besar.

Aku terdiam sebentar, tidak tahu apa yang akan ku tanyakan kepadanya lagi. Aku tidak mahu tersalah soalan kepadanya, nanti mana tahu aku menerima jawapan yang tidak menyenangkan dirinya. Orang seperti itu pemiliknya bergerak cepat, mungkin apa yang dikatakannya itu berupa ilham daripada Tuhan yang Maha Kuasa.

"Wahai Bahlul, tahukah engkau bahawa harga roti sekarang sudah naik?" Lidah ku tiba- tiba mengatakan itu, dan aku sendiri tidak tahu, kenapa aku mempersoalkan harga roti pula.

Beliau menjawab tegas dengan wajah yang muncung dan masam; "Demi Allah aduhai Sariy, aku tidak peduli berapa pun harganya, walaupun harga roti berharga sedinar sekalipun. Itu bukan urusan kita." Dia terlalu serius ketika mengucapkan kata- kata itu seolah- olah dia peniaga pasar.

Bahlul terus bersyarah dengan dengan penuh falsafah; "Apa yang seharusnya dianggap penting ialah kita mesti menyembah Allah SWT dengan sebaik- baiknya sebagaimana yang diperintahkan, nescaya Allah SWT akan mengurniakan rezeki-Nya sebagaimana yang dijanjikan. Harga roti naik atau turun bukan menjadi masalah, sebab walau apa pun keadaan yang berlaku sesungguhnya rezeki daripada Tuhan tetap ada."

Dipetik dari kolum 'suri teladan' dalam kitab Syarah Al- Hikam jilid 1 keluaran Telaga Biru yakni syarah bagi kitab Al- Hikam Ibnu Athaillah Iskandary.



No comments:

Post a Comment